* My Age *

Lilypie Kids Birthday tickers

* Selamat Hari Lahir *


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, October 30, 2010

Kekuatan itu..

"Kriiiiiiiingggg"

Jam loceng berdering kuat. Saya terjaga dari lena yang panjang. Saya menekan punat LED back light di jam Casio saya.

"Sudah pukul 5.30??"

MasyaALLAH, macam mana boleh silap timing? Terlepas sesi janjitemu dengan Kekasih Hati. Saya melangkah keluar bilik setelah membaca doa bangun tidur. Menuju ke tandas yang hanya berada di sebelah pintu bilik saya. Adik perempuan saya, ditinggalkan dahulu, diulit mimpi mungkin. Bunyi decitan air menandakan ada orang yang sedang menggunakan bilik air.

Lalu, saya menuju ke bilik tamu yang ada di hadapan ruangan rumah, bersebelahan ruang tamu, dekat dengan pintu masuk rumah. Saya menggunakan bilik air tersebut. Usai qada' hajat, saya meluru ke pintu rumah kerana terdengar bunyi enjin kereta dihidupkan. Saya membuka pintu, melihat kereta yang ayah dan mak saya naiki sudah menuju ke pintu pagar untuk menuju ke surau. Mungkin mak dan ayah tidak sedar saya sudah bangun.

Harapan saya sudah terkubur untuk sama-sama berjemaah di surau. Namun, Allah masih sayangkan saya. Tiba-tiba ayah berpaling ke belakang, melihat saya di pintu rumah, seakan-akan menunggu perkara ajaib berlaku untuk membolehkan saya turut ke surau.

Ayah memberhentikan kereta. Cahaya merah daripada lampu brek menghiasi malam yang kelam. Saya meluru ke dalam rumah, mengambil kain telekung lantas cepat-cepat berlari anak ke dalam kereta.

"Alhamdulillah.."

Lidah menutur syukur. Di dalam kereta, memori saya terbang, teringat kepada insan-insan yang minta saya kejutkan pada pagi itu. Saya hanya sempat misscall sekali dan hantar satu mesej sejurus bangun dari tidur kerana kesuntukan masa.

"Allah, kejutkan lah mereka.."

Kereta saya memakir di suatu sudut lapangan di surau. Saya menguak pintu kereta, menapak satu persatu sambil berzikir. Sejuknya pagi hingga mencengkan tulang sum sum. Pelukan tubuh makin dieratkan. Dari jauh saya dapat lihat dua pasang selipar diletak bersebelahan di anak tangga.

"2 orang sahaja datang..."

Saya bersungut dalam hati. Senyuman dilemparkan kepada dua jemaah muslimah ketika saya melangkah ke dalam surau.

"Dan orang yang sama..."

Saya masih bersungut..

Solah sunat rawatib didirikan. Diikuti solah Subuh. Imam membaca surah As-Sajadah, saya seakan-akan hanyut dalam surah ini, sambil mengikut bacaan iman. Alhamdulillah sewaktu Tingkatan Tiga berkeras untuk menghafal surah ini.

Solah Subuh usai...

Sambil berwirid, saya teringat akan kisah Yusuf Al-Qardawi yang ditahan tentera Yahudi ketika pulang solah Subuh berjemaah. Mereka bertanya tentang jumlah jemaah di sana. Rupa-rupanya daripada keterangan tentara Yahudi, kekuatan itu terletak pada Solah Subuh.

"Huuuh.."

Saya menghela keluhan. Bagaimana kekuatan kita?

Kekuatan itu

Kadang-kadang, saya sendiri kehilangan punca. Ya, punca ketika pelbagai ujian mampir dalam hidup, dan menekan jiwa raga seorang hamba yang dhaif ini. Tanggungjawab yang pelbagai tidak dapat membuat saya duduk senang, malah setiap masa terbayang satu-persatu ujian yang perlu saya hadapi sehingga kadang-kadang ia menghiasi tidur saya sepanjang malam. Bahagiakah begitu?

Kadang-kadang terbit rasa futur. Lemah. Lalu ingin tinggalkan kesemua tanggungjawab ini. Saya leka, lalai, lalu langsung tidak ambil cakna tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya. Sentiasa melenyapkan diri, buat tidak tahu, dan buat-buat tidak dengar. Satu persatu amanah terabai..

(Astaghfirullahalazim...)

Kadang-kadang jiwa menjerit sendirian, ingin lari daripada semua masalah yang timbul. Tak mahu ambil tahu apa yang berlaku. Menutup telinga. Menutup mata. Berhenti berkata-kata dalam memberi pandangan untuk menyelesaikan realiti masalah yang berlaku. Jiwa meronta-ronta untuk pulang ke rumah, laman untuk berehat sepenuhnya.

Namun, kadang-kadang terbit rasa insaf. Apatah lagi ketika meneliti ayat-ayat Al-Quran yang dibaca ramai-ramai setiap pagi ketika beratur di tepi kelas sebelum sesi pembelajaran dimulakan. Aku tersedar. Masalah ini hanyalah ujian. Ujian untuk meningkatkan keimanan kami kepada ALLAH. Maka masalah ini bukanlah untuk diratapi, bahkan untuk diselesaikan. Tetapi, apabila teringat bahawa diri ini lemah, semuanya seakan-akan gelap.

"Bergantunglah pada yang Maha Kuasa, kamu bakal berkuasa sepenuhnya berterusan.."

Kepala diangkat. Memandang masa hadapan. Kepala diangkat lagi. Memandang ke langit, melihat kekuasaan ALLAH..

"Allah, berikan aku kekuatan..."

Ya, bergantung kepada ALLAH adalah penyelesaiannya!

p/s- Jagalah solah subuh!

SELAMAT HARI LAHIR UNTUK KAK RASYIDAH NUR AIN

Moga ALLAH sayang kita

Aisyah Ulya
Ketinggian Sahsiah Matlamat Utamanya
Saturday 30 October 2010 4:28 pm

Friday, October 29, 2010

Bagaimana wawasan kita..


Ada suatu kisah di sebuah negera yang ditadbir oleh seorang raja yang amat berjiwa rakyat malah amat soleh dan wara'.Pemerintahannya itu telah menjadikan suasana dalam masyarakatnya sungguh harmoni, tanpa sebarang kecelaruan. Namun, di sebalik itu, ada beberapa pihak tidak berpuas hati kerana dengkikan keharmonian dan ketenangan yang dicetuskan oleh raja tersebut termasuk menteri-menterinya.

Oleh sebab itu, pada suatu hari, para menteri yang boleh dilabel pembelot telah mengambil satu kata putus untuk membunuh raja tersebut. Maka diusahakan juga pelbagai cara untuk membunuh raja tersebut. Maka dengan izin Allah raja itu telah mangkat terminum racun sebagaimana yang telah dirancang oleh para menterinya. Rakyatnya sungguh sedih dan hiba akan pemergian raja yang mereka sayangi dan para menteri tadi bersorah riang dan gembira kerana apa yang telah dirancang oleh mereka berhasil.

Namun timbul satu lagi masalah kerana tampuk kepimpinan tetap tidak mereka warisi kerana raja tersebut mempunyai seorang anak kecil yang bakal memegang pucuk kepimpinan yang telah ditinggalkan oleh ayahnya. 
Maka para menteri tadi telah melakukan satu diskusi tentang masalah ini.

"Apa yang kita perlu lakukan pada raja muda?", tanya salah seorang daripada mereka.

"Raja masih muda, dan sekarang pemerintahan adalah di bawah pembantu raja. Kita tak dapat buat apa-apa, dan langsung tidak akan dapat merampas pemerintahan dengan begitu sahaja."

"Saya rasa kita bunuh juga raja muda.", kata menteri yang paling muda dengan semangatnya.

Ada sebahagian menteri yang setuju. Namun, seorang menteri bangun bersuara.

"Sebaiknya kita jangan ambil tindakan drastik begitu. Rakyat sudah khuatir dengan kemangkatan raja dengan tiba-tiba. Jika kita bunuh juga raja muda, mesti kemangkatan raja terdahulu akan disiasat kembali dan kita akan dipersalahkan. Rakyat akan bangun memberontak.

Bilik mesyuarat mula gamat dengan suara-suara para menteri. Mereka sudah mati akal. Di dalam kekecohan itu, berdiri seorang menteri yang paling tua dan berkata:

"Sebenarnya saya ada idea yang paling bagus. Apa kata kita lalaikan raja muda dan buat dia lupa akan tanggungjawabnya sebagai raja. Kita berikan dia arak, wanita dan hiasi hidupnya dengan lagu-lagu. Dengan itu, jiwanya akan rosak dan lupa akan rakyat malah berfoya-foya setiap hari.."

"Saya setuju. Kita berikan makanan kepadanya agar dia mati kegemukan. Kita serang raja muda secara halus sehingga dia sendiri akan lepaskan jawatannya kepada kita"

"Ya, kami juga setuju."

Semua menteri yang hadir tersenyum girang.

Beberapa hari kemudian, rancangan mereka dilaksanakan. Mereka menghebah-hebahkan kepada masyarakat bahawa mereka ingin membawa raja muda ke kawasan terpencil untuk mengasah bakat kepimpinan sebagai persediaan untuk memerintah negara nanti.

Maka dibawalah raja muda itu, dengan wanita-wanita, arak-arak, dan lagu-lagu juga makanan yang lazat-lazat. Raja muda diberi kemewahan dengan hasrat agar dia lupa akan tanggungjawabnya sebagai pemangku raja.

Hari berganti hari. Minggu berganti minggu. Bulan berganti bulan. Bertahun sudah raja muda ditinggalkan di kawasan terpencil dengan segala kemewahan dan kelalaian sebagaimana yang telah dirancang oleh para menteri bertahun yang lalu. Menteri-menteri tersebut teringin ingin melihat raja muda di kawasan terpencil itu.

Di dalam perjalanan, mereka bergelak ketawa ketika membayangkan raja muda yang dahulunya tegap kini menjadi gemuk, sentiasa mabuk-mabuk dan diiringi wanita-wanita yang telah diupah untuk melayaninya. Mereka sungguh berkeyakinan bahawa pemerintahan bakal berada dalam tangan mereka.

Namun, sebaliknya berlaku. Mereka terkejut dengan apa yang mereka lihat. Raja muda membesar dengan baik malah semakin tampan, tegap dan tampak berilmu. Maka menteri yang tertua datang menghampirinya lalu bertanya.

"Bagaimanakah kehidupan kamu di sini?"

"Alhamdulillah. Saya dapat mendekatkan diri dengan Allah sebaiknya."

"Apakah kamu tidak melayani perempuan-perempuan itu?" kata menteri lain sambil melihat perempuan yang berada di satu sudut.

"Saya lebih takutkan azab Allah"

"Bagaimana pula dengan arak-arak yang tersedia?"

"Saya menahan diri daripada yang haram.."

"Apakah kamu tidak makan juadah-juadah enak yang tersedia?"

"Ya, saya makan tetapi dengan sekadarnya.."

"Adakah kamu tidak berhibur?"

"Saya berhibur dengan lagu-lagu yang dapat membangkitkan semangat dan mendamaikan jiwa sahaja.."

Para menteri yang ada tergamam.. Lalu mereka mengeluh..

"Kenapa kamu begitu kental? Langsung tidak hiraukan kemewahan dan langsung tidak lalai?"

"Ini adalah kerana saya faham dan sedar bahawa saya telah dilahirkan sebagai seorang raja. Saya seharusnya menghindarkan diri daripada segala kelalaian kerana saya mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap negara dan rakyat. Saya perlu menjadi qudwah terbaik dari setiap segi. Maka masakan saya perlu lalai dengan apa yang tuan-tuan sediakan ini.."

******************************

Nah saudara-saudara sekalian! Lihat betapa jelas wawasan raja muda tadi hingga tidak terkalahkan oleh sistem-sistem yang sengaja direka untuk melalaikannya.

Jadi, bagaimana kita? Adakah tertanam utuh wawasan kita sebagai hamba Allah, yang sepatutnya terus gah berdiri biarpun hidup di tengah-tengah sistem jahiliyah?

PERINGATAN UNTUK DIRI SENDIRI

Wahai Aisyah, teguhkan jati dirimu untuk menghadapi saat-saat yang sukar

Moga ALLAH sayang saya

Moga ALLAH sayang kalian

Aisyah Ulya
Ketinggian Sahsiah Matlamat Utamanya
Friday 29 October 2010 9:43 pm

Friday, October 15, 2010

Diterimakah amalan kita...



[[Hari makin berlalu... Maka SPM pun semakin hampir...]]

Saya menutup buku latihan Add Math setelah menyiapkan soalan tahun 2005. Saya melepaskan lelah. Saya menyandar kuat ke kerusi besar saya. Jam di tangan kiri ditatap. 

"Dah pukul 1..."

Pelajar-pelajar lain sudah berpusu ke math'am (dewan makan). Saya masih lagi termangu entah menunggu apa di dalam kelas. Mahu qailulah (nap), namun mata ini tetap celik. Celik mata dan minda jua hati setelah berlaku beberapa kejadian sepanjang persekolahan setelah Hari Raya Aidilfitri.

Bermula penerimaan keputusan Peperiksaan Percubaan SPM 2010, sehinggalah saat ini, Allah banyak datangkan pelbagai ujian, lalu menyedarkan diri ini akan pelbagai perkara.

"Allah, berat benar tanggungjawab dan amanahku..."

******************************

Kelas Bahasa Arab Tinggi yang diajar oleh Ustaz Amali gamat apabila semua pelajar sungguh gigih menyiapkan latihan yang diberi. Saya juga sedang giat mencari perkataan baharu di dalam kamu biru yang sudah lama berjasa. Namun usaha kami terhenti, diganti dengan sembang ilmiah bersama ustaz.

Bilangan kami (read : pelajar puteri) seramai enam orang dalam kelas aliran Sains Tulen memudahkan lagi kami memberi padangan masing-masing tentang isu yang diketengahkan oleh salah seorang sahabat saya iaitu mengenai da'wah.

Semuanya bermula ketika ustaz menghampiri tempat duduk kami. Memantau kami menyiapkan latihan BAT yang telah diberikan pada awal sesi kelas tadi. Saya tersenyum melihat ustaz. Tidak sangka senyuman saya itu pada tadinya manis bertukar kelat apabila kami berdiskusi tentang amanah dan tanggungjawab.

Pada awalnya soalan kami tertumpu tentang sesuatu yang mungkin tiada kaitan dengan kami. Namun, maha suci ALLAH yang telah membuahkan mutiara-mutiara daripada kalimah yang telah dituturkan kepada ustaz. Ustaz mengingatkan kami kembali tentang tanggungjawab kami sebagai kakak-kakak TERTUA di sekolah, lalu mengimbas sedikit sebanyak bagaimana suasana dan keadaan di sekolah kini.

Sahabat di hadapan saya telah menitiskan air mata. Saya juga seakan-akan lenyap dalam nasihat yang telah ustaz berikan.

"Gunalah riwayat terakhir antum di sini untuk meninggalkan sesuatu yang berharga buat adik-adik".

Saya tergamam. Aku mahu tinggalkan apa???



******************************

Da'wah itu wajib

Ya, benar SPM sudah hampir, dan cemerlang itu impian setiap daripada kami. Namun kadangkala kita terlupa, di sebalik tanggungjawab belajar itu, terlindung satu lagi tanggungjawab yang maha agung, bahkan ia adalah core bussiness kita sebagai individu yang memahami apa ertinya mereka menganut agama Islam iaitu tanggungjawab berdakwah.

Malah pendapat saya, tanggungjawab menuntut ilmu itu adalah salah satu persediaan untuk membawa tugas da'wah itu. Maka, tanggungjawab kami bukanlah sekadar belajar, malah perlu meneliti setiap keperluan roh subjek da'wah kami iaitu pewaris-pewaris Islam di SMAKL.

Dan sesungguhnya, banyak yang kami saya abaikan dalam aspek itu. Jiwa adik-adik, saya biarkan kosong tanpa berkongsi fikrah yang saya ada. Ya ALLAH, berdosanya aku..

Malah, sejak akhir-akhir ini saya sering terlupa kalimat 'asbabun najah' (sebab-sebab kejayaan) ekoran terlalu asyik menumpu kepada SPM yang bakal tiba. Saya seakan-akan lupa bahawa ALLAH berhak menghijabkan kecemerlangan dalam SPM kepada saya akibat melekakan tanggungjawab saya terhadap adik-adik.

"Sebulan je lagi duduk dengan adik-adik. Macam tak percaya dah habis tempoh lima tahun kita duduk di sekolah......"

Rintihan-rintihan sebegini sentiasa terdengar, malah kadang-kadang saya sendiri menuturkan kata-kata sedemikian, tanda tidak percaya malah bimbang bukan sahaja kepada adik-adik yang akan ditinggalkan dan sahabat-sahibah yang bakal terpisah, bahkan kepada diri sendiri yang akan keseorangan nanti.

Namun, di hujung-hujung ayat tersebut akan ada sedikit keluhan dan kesalan tentang apa yang telah kami sumbangkan kepada adik-adik agar mereka dapat memahami Islam yang sebenarnya dan sentiasa mensyariatkan Islam dalam setiap tindak tanduk mereka. Dan sememangnya setiap dosa yang adik-adik lakukan, terpalit sedikit saham untuk kami dan saya kerana gagal menjadi qudwah hasanah yang terbaik untuk mereka.

Jadi, bagaimana?? Saya sendirian mengeluh di sini....

Maka, Ya ALLAH berikanlah kami sedikit kekuatan untuk mendaulatkan Islam dalam diri kami masing-masing agar sinarnya itu turut menerangi hidup adik-adik yang kami sayangi...

Semuanya dapat berlaku dengan izin Yang Maha Kuasa

"Allah boleh buat macam-macam. Contoh yang paling dekat, peperiksaan yang kita ambil ni. Boleh sahaja ALLAH nak padamkan semua jawapan kita atas kertas peperiksaan malah ALLAH jua maha berkuasa untuk mengisi tempat kosong yang kita tinggalkan dengan jawapan yang betul. ALLAH maha berkuasa untuk buat apa sahaja yang dia nak."

Sesuatu yang saya tuturkan dahulu, kini saya pun sudah terlupa akan kebenaran kata-kata ini..

Namun, hakikatnya memang begitu sama ada kita sedar atau tidak. Maka, itulah yang dikatakan asbabun najah penting dalam saat-saat genting sebegini. Seorang abid yang beramal beratus tahun pun tidak dapat melangkah ke syurga dengan amalannya, apatah lagi kita yang hendak berjaya dalam peperiksaan. Kononnya berkata, "Aku dapat mengecap kejayaan semata-mata dengan ilmu yang aku ada".

Siapa kata ianya sebegitu rupa? Setiap apa yang berlaku ke atas kita sebenarnya bergantung pada rahmat serta Rahman dan Rahim ALLAH S.W.T.

Takdir ALLAH di hujung usaha manusia

Namun, jangan kita lupa bahawa konsep tawakal itu bukan menyerah bulat-bulat. Akan tetapi, menyerah setelah berusaha sehabis mungkin!

Jadi, begitu juga dengan keadaan saya kini. Tanggungjawab belajar dan tanggungjawab sebagai kakak tertua di sekolah saya. Maka soalan bagaimana tadi itu terjawab apabila saya pandai membahagikan masa serta YAKIN dan PERCAYA kepada ALLAH yang maha berkuasa!

Maka dengan kesedaran ini, kami telah merancang dan telah melaksanakan rancangan sepanjang "Riwayat Akhir" kami ini, walaupun sibuk dengan kelas, latihan, dan sebagainya. Namun persoalannya, adakah diterima amalam kami sebagai amal Qawiey? Adakah berakar kemas elemen IKHLAS dalam jiwa kami?

Allah, bantulah hambaMu ini dalam menegakkan syariat Islam di muka bumi ini..

Moga ALLAH sayang adik-adik
Moga ALLAH sayang SMAKL
Moga ALLAH sayang sahabat-sahibah
Moga ALLAH sayang kalian





Status - Pulang ke rumah sebentar, menghirup oksigen kekuatan daripada insan-insan di rumah...

38 hari lagi SPM.. 11 A+ SPM insya ALLAH. Doa kalian amat saya butuhkan..

Moga ALLAH sayang saya

Aisyah Ulya
Ketinggian Sahsiah Matlamat Utamanya
Friday 15 October 2010 5:33 pm